Wednesday, December 26, 2007

Ahli Umno dan pemimpin Umno dahulu

Ahli Umno dan pemimpin Umno dulu memiliki nilai kemanusiaan demi nusa dan bangsa yang tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan ahli Umno dan pemimpin Umno kini.

Perjuangan ahli Umno dan pemimpin Umno dulu berjuang atas nama "HIDUP MELAYU" bukan kerana darjat, pangkat, wang ringgit, dan sanjungan. Jauh beza jika dibandingkan dengan ahli Umno dan pemimpin Umno kini.

Ahli Umno dan pemimpim Umno dulu bersatu teguh bercerai roboh. Malangnya ahli Umno dan pemimpin Umno kini berpuak-puak dan menjahanam sesama sendiri.

sedikit gambaran dan rakaman kata perseorangan yang seharusnya menjadi ikhtibar buat ahli Umno dan pemimpin Umno kini;

"Tetapi tanpa disangka, bangun seorang wanita tampil ke hadapan meminta Tunku tidak berkata demikian ("kita tidak ada duit, jadi macam mana hendak pergi"), langsung diberinya rantai dan gelang yang dipakainya kepada Tunku menyebabkan seluruh dewan senyap."

"Tunku sanggup berhenti kerja apabila dilantik menjadi pemimpin Umno. Tanpa kerja, habis tanah-tanah yang diberi emaknya dijual sehingga tiada lagi harta yang tinggal."

"Dalam dunia ini, nak cari orang yang pandai, berjuta-juta yang pandai. Nak cari orang kaya berjuta-juta yang kaya. Nak cari orang yang bepegang kepada amanah, yang honest, kita nak cari, tak banyak. Beliau (Hussein) seorang yang honest."

-Pendapat Tunku Abdul Rahman Putra mengenai karakter Tun Hussein Onn

"During my time, it was sheer sacrifice for the party and the branch heads were very active." They funded their own activities and were constantly helping out villagers and the poor."

-Tan Sri Aishah Ghani

Terdapat lagi banyak teladan dan tauladan yang boleh dijadikan sajian muhasabah diri buat seluruh ahli UMNO dan pemimpin Umno kini. Andainya ahli Umno dan Pemimpin Umno kini menyimpang jauh daripada aspirasi nilai kemanusiaan sebagaimana yang ditunjukkan oleh ahli Umno dan pemimpin Umno terdahulu, maka Umno bakal menjadi parti pembangkang di suatu masa nanti. Bukannya disebabkan oleh penolakan rakyat marhean terhdap Umno tetapi disebabkan oleh ahli Umno dan pemimpin Umno (sekarang) sendiri.

"Umno (sekarang) bersifit elit"

Saturday, December 15, 2007

Perhimpunan

Sejak Abdullah Ahmad Badawi bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 negara mulai dilanda pelbagai karenah teutamanya berbaur politik. Pada tahun ini (2007) sahaja sudah dua perhimpunan menggegarkan negara. Kedua-dua perhimpunan ini tetap dilabel oleh kerajaan PM Abdullah sebagai haram kerana tidak mendapat keizinan daripada pihak berkuasa kerajaan atas faktor keselamatan dan keamanan negara.

Perhimpunan pertama dimulakan oleh BERSIH pada 10 november 2007. Perhimpunan aman yang dianjurkan BERSIH ini tidak mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan walaupun BERSIH ada memohon kebenaran untuk berhimpun secara aman. Walaupun BERSIH tidak mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan BERSIH bertegas untuk menganjurkan perhimpunan demi keadilan dan ketelusan perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Perhimpunan kedua diikuti oleh Hindraf yang diadakan pada 25 november 2007 lalu. Perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf ini juga senasib dengan BERSIH iaitu tidak mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan. Namun demikian perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf ini tidaklah boleh disamakan seperti perhimpunan BERSIH kerana Hindraf secara jelas dan terang melakukan perhimpuanan beralakan demonstrasi agresif sehingga berlakunya pertumpahan darah dan menuntut sesuatu yang tidak masuk akal dan jauh daripada logika.

Perhimpunan yang dianjurkan BERSIH ini walaupun dalam bentuk aman tetap dilabel oleh kerajaan PM Abdullah sebagai "haram" dan setaraf dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf. Ia dilabel sebagai haram kerana tidak mendapat keizinan atau permit daripada pihak berkuasa kerajaan atas dasar menjaga keamanan negara. Apa yang agak sarkastik ialah PM Abdullah mengarahkan secara langsung kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya tidak memberi permit kebenaran berhimpun secara aman kepada BERSIH. Pada masa yang sama juga PM Abdullah menegaskan perhimpunan yang dianjurkan BERSIH tetap haram disisi kerajaan kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa kerajaan. Persoalannya yang wujud ialah pihak manakah dan siapakah yang berkuasa didalam memberi keputusan, apakah PM Abdullah atau pihak kerajaan ?.

Kenyataan tegas PM Abdullah ini terus disebar dan dicanang oleh akhbar-akhbar dibawah telunjuknya dan wajah tegas PM Abdullah mendapat "close up" daripada lensa kamera wartawan untuk dipublisitikan keseluruh pelusuk negara.

Pengajaran yang wujud samada secara sedar mahupun tidak ialah pimpinan PM Abdullah kini tidak mendapat tempat dihati rakyat marhean terutamanya yang terdidik dan terpelajar dan tidak terkongkong oleh kerajaan. Golongan yang sedikit ini akhirnya bangun bertindak dan bersuara dari semasa-kesemasa samada secara praktikal mahupun secara "perang siber." Bukti ini boleh dikukuhkan dengan fakta jelas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu ramai golongan muda tidak mendaftar sebagai pemilih dan pihak SPR sendiri tidak pernah mengkajiselidik faktor apakah yang menyebabkan golongan muda tidak mendaftar sebagai pemilih. Apakah golongan muda sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan SPR atau Kerajaan PM Abdullah?

Monday, December 10, 2007

Kuasa senyap

Seorang dramatis dan juga penulis esei terkenal Vaclav Havel berkata "kuasa ditangan mereka yang tidak punya kuasa... kuasa ini boleh digerakkan oleh media." Apa yang dimaksudkan oleh Vaclav Havel ialah kuasa senyap. Kuasa senyap merupakan kuasa yang tidak boleh disenyapkan oleh mana-mana pihak termasuk pihak pemerintah yang sedang berkuasa. Kuasa senyap sentiasa menelusuri masa dan waktu tanpa batas melainkan degup jantung alam terhenti.

Suatu kuasa itu sedang dan akan sentiasa lahir dalam bentuk apa jua sekalipun jika sudah sampai masanya. Kejatuhan kerajaan-kerajaan yang berkuasa sebagaimana tercatit didalam lembaran sejarah sebenarnya dijatuhkan oleh kuasa senyap. Hakikatnya kuasa senyap bukan dimiliki oleh sidang wazir pemerintah dan pemerintah tetapi dimiliki oleh rakyat marhaen. Tidak pernah tercatit didalam lembaran sejarah yang kerajaan walaupun bersifat diktator, autoritian, totalitarian, dan sebagainya tidak pernah tewas kepada kuasa senyap. Fakta yang paling jelas menggambarkan kejatuhan pemerintah dan kerajaannya ialah kejatuhan Presiden Suharto. Presiden Suharto yang telah memerintah Indonesia selama 32 tahun telah ditumbangkan oleh suara-suara rakyatnya yang padu apabila Presiden Suharto menyekat kebebasan bersuara melalui media.

Media sama ada dalam bentuk cetak mahupun elektronik sememangnya memiliki kuasa senyap. Setiap baik-bait wacana sentiasa menggerak intuisi dan pemikiran pembaca. Maka tidak hairanlah "kata-kata lebih tajam daripada pedang." Media merupakan tatapan harus tidak kira di kota mahupun di desa. Bagi rakyat marhaen yang sentiasa ingin tahu akan sesuatu perkara yang berkaitan dengan negara dan hal ehwal sepanjang masa sudah tentu menjadi pembaca setia media, tidak kira media cetak mahupun media elektronik.

Dalam konteks Malaysia, media wujud dalam dua aliran iaitu media yang bertuankan kerajaan pemerintah dan media bentuk bebas yang tidak bertuan kepada mana-mana pihak walaupun pihak kerajaan pemerintah. Media yang bertuankan kerajaan pemerintah sudah tentu akan seia dan sekata dengan apa-apa yang telah diacuankan dan dirumuskan oleh kehendak kerajaan pemerintah yang sinonim dengan nama "pihak berkuasa." Media yang telah bertuan ini sentiasa akur dan mengikut kesemua kehendak dan kemahuan kerajaan pemerintah tanpa membantah walau sekata patah pun.

Disamping itu juga media yang telah bertuan ini sentiasa dikawal dan diawasi untuk mengelakkan berlakunya hal yang tidak diingini berlaku iaitu "makan tuan." Maka tidak hairanlah media yang bertuan ini sentiasa terkongkong apabila ingin membahanakan wacana yang benar, jitu, dan tuntas walau pun makan tuan. Media yang bertuan sememangnya tidak mempunyai "kuasa senyap" dan hanya layak dilabel sebagai media jenis sampah.

Manakala media yang tidak bertuan sudah tentu tidak boleh dikawal dan sentiasa berada dalam keadaan liar. Media yang tidak bertuan akan senantiasa bebas bak burung merpati putih yang baru lepas dari sangkar emas. Ia tidak perlu kembali lagi ke sangkar emasnya untuk mendapatkan sesuap nasi atau mendapatkan simpati demi hidup, tetapi ia akan terus terbang bebas ke mana-mana asalkan terus bebas selagi ia masih lagi diperlukan.

Media yang tidak bertuan ini akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai ugutan dan ancaman daripada pihak kerajaan pemerintah dan mana-mana pihak berkuasa yang bertuankan kerajaan pemerintah. Pelbagai bentuk tekanan dikenakan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun mental atau psikologi. Namun itu semua tidak dapat menggugat kecekalan media yang tidak bertuan ini. Malahan setiap saat ia akan menggerakkan kudratnya untuk terus berpaksi kepada kebenaran. Media yang bertuan ini sememangnya lebih dan teramat layak untuk mendapat gelaran keramat yakni "penggerak kuasa senyap."

Media sama ada yang bertuan atau tidak bertuan akan sentiasa terus mengacubentuk minda rakyat marhaen. Media yang tidak bertuan tidak pernah memaksa sesiapa untuk mendukung setiap wacana yang dibahanakannya kerana ia yakin kata-kata lebih tajam daripada pedang dan mampu menjadi penggerak kepada kuasa senyap yang akhirnya dapat menumbangkan badut-badut kuasa kerajaan pemerintah yang disaluti dengan korupsi, kronisme, nepotisme, dan proksi-isme.