Friday, December 24, 2010

Zaid-Berman, animal politics yang kecewa?

Ketua Parti Kesejahteraan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dulunya merupakan animal politics UMNO-BN dan Parti Keadilan Rakyat. Presiden Parti Barisan Rakyat Sabah (SPF), Berman Anggkap dulunya juga merupakan animal politics parti pembangkang Sabah, Bersekutu. Kedua-dua animal politics ini memilih untuk tidak "bertuan" sama ada dengan UMNO-BN mahupun Pembangkang.

Menubuhkan parti politik baru sememangnya baik untuk demokrasi tetapi tidak untuk Malaysia. Datuk Zaid Ibrahim dan Berman Anggkap memilih untuk tidak "bertuan" sama ada dengan UMNO-BN mahupun parti Pembangkang. Ia apakah kerana disebabkan kecewa terhadap UMNO-BN dan Pembangkang? Opportunist bagaimana?

Pada Jun 2009, Datuk Zaid Ibrahim keluar UMNO dan menyertai PKR berikutan perselisihannya dengan UMNO. Perselisihan Datuk Zaid Ibrahim dengan UMNO berpunca daripada tindakan kerajaan yang memerintah mengenakan tindakan penahanan terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan akhbar Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008 lalu.

Pada 15 November lalu, Datuk Zaid Ibrahim telah mengisytiharkan keluar PKR kerana telah hilang kepercayaan terhadap PKR keseluruhannya. Datuk Zaid Ibrahim hilang percaya dengan PKR terutamanya pucuk pimpinan, selain wujudnya manipulasi dan penipuan dalam Pemilihan Parti. Pada 15 Disember lalu, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Ketua Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang kini dikenali dengan nama Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

Gerak perjalanan atau flow politik Datuk Zaid Ibrahim secara pemahaman asas ialah keluar parti-masuk parti-keluar parti- masuk parti. Jika dilihat pada gerak perjalanan politiknya, telah dua kali keluar parti dan telah dua kali masuk parti. Sudah semestinya keluar parti yang telah dua kali itu menunjukkan bahawa Datuk Zaid Ibrahim kecewa terhadap PKR sebagaimana kekecewaannya terhadap UMNO sebelum menyertai PKR.

Kekecewaan Datuk Zaid Ibrahim dengan UMNO-BN dapat dilihat melalui perselisihannya terhadap UMNO berikutan tindakan penahanan terhadap tiga individu di bawah ISA pada 2008 yang dikenakan oleh kerajaan yang memerintah, UMNO-BN. Sebagai pengamal undang-undang yang cukup berpengalaman, Datuk Zaid Ibrahim tentunya melihat tindakan kerajaan yang memerintah itu bercanggahan dengan semangat demokrasi dan hak-hak asasi kemanusiaan.

Kekecewaan Datuk Zaid Ibrahim yang seterusnya ialah dengan PKR. Kekecewaan itu dapat dilihat melalui tindakannya meletak kesemua jawatan yang disandang dalam parti pada 8 November lalu. Perletakan kesemua jawatan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Ketua de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali yang dikatakan menjadi punca berlakunya krisis dalaman parti. Perletakan kesemua jawatan itu juga berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kegagalan pucuk pimpinan parti memberi perhatian terhadap tuduhan wujudnya manipulasi dan penipuan dalam pemilihan parti.

Apa yang boleh diperkatakan tentang Parti Barisan Rakyat Sabah (SPF) ialah ia adalah kesinambungan perjuangan parti Bersekutu. SPF bukanlah parti serpihan Bersekutu sebagaimana AKIM. Tambahan pula presidennya adalah mantan Presiden parti Bersekutu, Berman Anggkap.

Berman Anggkap telah membubarkan parti Bersekutu bagi membolehkannya menubuhkan SPF. Dengan "menjenama" semula parti Bersekutu, Berman Anggkap meyakini bahawa SPF dapat memainkan peranan sebagai parti yang berupaya untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi sabah sejak bertahun-tahun lamanya yang gagal diselesaikan oleh UMNO-BN, terutamanya hak-hak rakyat Sabah.

Sewaktu menubuhkan SPF, Berman Anggkap telah menjelaskan bahawa keutamaan SPF ialah memulihkan semula hak-hak rakyat Sabah di samping menyelesaikan permasalahan yang dihadapi Sabah yang gagal diselesaikan oleh UMNO-BN. Berman Anggkap juga menjelaskan bahawa parti pimpinannya, SPF, tidak mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang di Sabah. Namun tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya memiliki persamaan ideologi atau doktrin politik.

Sebagaimana Datuk Zaid Ibrahim, Berman Anggkap juga boleh disifatkan sebagai animal politics yang kecewa terhadap UMNO-BN Sabah walaupun parti tersebut diterajui sendiri oleh anak jati Sabah. Selain kecewa terhadap UMNO-BN Sabah, juga kecewa terhadap "Kaum Tua" Sabah kerana tidak memberi sokongan terhadap perjuangan politik yang dibawa Bersekutu. Kekecewaan "Kaum Tua" Sabah terhadap Bersekutu ini berkaitan dengan palitan "sejarah hitam" yang dipalitkan oleh mantan presiden Bersekutu, Datuk Harris Salleh, yang juga mantan Ketua Menteri Sabah pada suatu ketika dahulu.

Wednesday, December 22, 2010

Gadai negara, selain Anwar?

Penyifatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, negara akan tergadai sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti adalah penyifatan berat sebelah. Walaupun berasas secara politik atas kertas tetapi penyifatan itu bersifat khusus, tidak secara menyeluruh.

Andaikanlah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 nanti dan dakwaan negara tergadai menjadi kenyataan, bagaimana negara boleh tergadai? Siapa pula yang bakal memperoleh laba gadaian negara selain Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rakan-Rakan? Apakah Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika? Sekiranya sedemikian, apakah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah "sahabat" kepada Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika?

Gadai negara, siapa selain Datuk Seri Anwar Ibrahim? Sudah tentu, pemimpin-pemimpin politik yang tamak haloba terutamanya yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, kerajaan pusat tentunya. Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik yang korup terutamanya yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, kerajaan pusat tentunya? Mohandas Karamchand Gandhi (1869-1948) ada mengungkap bahawa "dunia ini mencukupi bagi orang biasa tetapi tidak bagi orang yang tamak haloba."

Tamak haloba dan korup mempunyai korelasi yang ultra-positif. Korup berpunca daripada tamak haloba. Tamak haloba tidak berpunca daripada korup. Pemimpin-pemimpin politik yang tamak haloba dan korup, terutamanya yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, tidak semestinya hanya di kalangan pemimpin politik parti Pembangkang sahaja, terdapat juga di kalangan pemimpin politik parti kerajaan yang memerintah, UMNO-BN. Tidak salah jika dikatakan bahawa parti kerajaan yang memerintah dan parti Pembangkang memiliki persamaan yang tidak jauh bezanya - persamaan memiliki pemimpin-pemimpin politik yang tamak haloba dan korup. Pun begitu, tidaklah kesemua pemimpin-pemimpin politik itu sedemikian rupa.

Bagaimana negara boleh tergadai atau digadai dengan begitu sahaja? Apakah menggadai negara boleh disamakan seperti menggadai intan berlian di kedai pajak gadai? Andai kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 nanti, dan hendak menggadaikan negara ini, seorang diri sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mampu berbuat demikian. Walaupun berpakat dengan pemimpin-pemimpin politik parti Pembangkang yang lain, PAS dan DAP. Melainkan adanya campur tangan pihak luar terutamanya Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika. Singapura bagaimana?

Percaya atau tidak negara boleh tergadai secara dengan sendirinya melalui perlaksanaan pembangunan ekonomi. Dalam membangunkan ekonomi, sesebuah negara tidak boleh mengamalkan sistem ekonomi tutup pintu. Ia perlu membuka pintunya kepada pihak luar terutamanya Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika. Jika tidak, atau menolak kemasukan pihak luar dari perlaksanaan pembangunan ekonomi, negara itu bakal pasti mengalami keterencatan pembangunan ekonomi. Ini sudah banyak dialami oleh negara-negara dunia ketiga terutamanya negara-negara dunia ketiga yang berbeza doktrin politiknya dengan Amerika. Cuba, Korea Utara dan Venezuela boleh dimasukkan ke dalam daftar negara yang mengalami keterencatan pembangunan ekonomi akibat penolakan itu.

Antara wilayah pembangunan ekonomi yang diwujudkan di Malaysia yang boleh mengakibatkan negara - boleh - tergadai ialah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) Johor. Di WPI, Zon Perniagaan dan Perdagangan Eksklusif terutamanya untuk pelabur-pelabur asing - sudah tentu apparatus dan apparatchik Amerika - diwujudkan. Pewujudan ini adalah bertujuan untuk memudahkan urusniaga antarabangsa dan global kerana ianya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pembangunan ekonomi negara secara amnya. Di samping merancakkan pembangunan ekonomi negara di era globalisasi kini.

Cuba bayangkan, di zon Perniagaan dan Perdagangan Eksklusif untuk pelabur-pelabur asing WPI ini dijadikan "medan lelong" aset negara seperti hartanah oleh pemimpin-pemimpin politik - yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, kerajaan pusat terutamanya - yang tamak haloba dan korup? Cuba bayangkan, di Zon Perniagaan dan Perdagangan Eksklusif WPI ini pelabur-pelabur asing yang telah berstatus "landlord" atas dasar pemilikan mutlak hartanah mengembangkan sayap pemilikan dengan serakus-rakusnya? Bakal pasti, selepas abad ke-21 yakni abad ke-22 nanti, sebahagian negara ini tergadai ke tangan-tangan apparatus dan apparatchik Amerika - pelabur-pelabur asing tentunya. Siapa yang mencanangkan idea pembangunan ekonomi di WPI Johor ini sehingga boleh menggadai negara? Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Negara akan tergadai sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 nanti hanyalah mitos. Ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri walaupun dengan kesabaran seluruh 28.3 juta rakyat. Pada kebarangkalian, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Datuk Seri Anwar dengan sedemikian kerana (1) tindak-tanduk politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang serba-serbi dan kerana (2) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan "persahabatan" dengan Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika. Jika demikian, dua kali lima. Kerajaan yang memerintah pun juga mempunyai hubungan persahabatan dengan Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika, selain tindak-tanduk politik pemimpin-pemimpin politik kerajaan yang memerintah juga terkadang serba-serbi.

Friday, December 17, 2010

Cekap sahaja tidak mencukupi

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Baru, cekap ditakrifkan sebagai;

1. boleh, dapat, mampu, sanggup

2. dapat (berkebolehan) melaksanakan sesuatu (kerja dll) dgn cepat dan sempurna, pandai, mahir

3. elok, cantik, rupawan

4. lekas, pantas, tangkas

Ayat contoh: ada beberapa ekor monyet yang betul-betul cekap bermain tunggang balik.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, negara ditadbir oleh ahli politik yang cekap dan bukan sebaliknya sudah tentu rasa resah dan gelisah rakyat terubat dengan secara sendirinya. Ini kerana terdapat dakwaan yang mengatakan, negara ditadbir oleh ahli politik yang sebaliknya yakni tidak cekap. Seandainya dakwaan yang dilemparkan ini dihadapkan ke muka pengadilan sudah tentu ia diklasifikasikan sebagai sub judice.

Nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial Malaysia meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza.

Jika diteliti Rukun Negara secara pemahaman asas, Malaysia mendukung cita-cita hendak, antaranya;

1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; dan

2. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Malaysia bakal gagal mendukung cita-cita, 1 dan 3, jika ahli politik yang mentadbir negara hanya sekadar cekap atau hanya setakat cekap. Tidak lebih daripada itu. Untuk mendukung cita-cita, 1 dan 3, Malaysia memerlukan ahli politik yang mentadbir negara, selain cekap, adil dan amanah. Sekadar cekap atau setakat cekap sahaja tidak memadai.

Sekiranya negara ditadbir oleh ahli politik yang cekap, adil dan amanah, tentunya Malaysia bakal tidak gagal mendukung cita-cita hendak;

1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;

2. Memelihara satu cara hidup demokratik;

3. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;

4. Menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak;

5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

"Dahulu ada sarjana menyebut: "Jika aku hanya mempunyai satu peluang doa yang makbul, nescaya aku doakan kepada pemimpin agar adil, kerana keadilan mereka kebaikan untuk semua."

- Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Bicara Buat Pemimpin Dan Rakyat, 2010, 217

Anwar adalah anugerah untuk Malaysia!

Seolah ada telunjuk halimunan yang menuding. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya. Dengan kesabaran 23.8 juta rakyat Malaysia pun! Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Percaya atau tidak tunggu dan lihat selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti. Apapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anugerah untuk Malaysia.

Malaysia sungguh bertuah. Malaysia harus berterima kasih kepada Pencipta kerana dianugerahkan animal politics yang serba cukup asam garam politiknya. Sesungguhnya sebagai hamba Allah yang dijadikan daripada setitis air mani dan segumpal darah kemudiannya ditiupkan roh ke dalamnya sudah pasti - manusia - mempunyai seribu kelemahan dan kekhilafan. Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak akan lari dari kelemahan dan kekhilafan.

Dari seorang Ketua Pemuda UMNO, kemudian menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO dan akhirnya bergelar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, boleh dijadikan icon buat animal politics yang serba serbi tindak tanduk politiknya. Jika digalurkan liku-liku dan fasa perjalanan perjuangan politiknya, banyak yang tersurat dan yang tersirat boleh dijadikan pengajaran, teladan, iktibar, sempadan dan batasan buat seluruh animal politics dan juga mereka-mereka yang bakal bergelar animal politics.

Animal politics yang serba serbi tindak tanduk politiknya, pelbagai tingkah laku politiknya, beraneka ragam sifat dan perangai politiknya, sehingga lupa dan tidak mengenal batasan, maka;

"Lelaki, Gus, soalnya makan, entah daun entah daging. Asal kau mengerti, Gus, semakin tinggi sekolah bukan berarti semakin menghabiskan makanan orang lain. Harus semakin mengenal batas. Kan itu tidak terlalu sulit difahami? Kalau orang tak tahu batas, Tuhan akan memaksanya tahu dengan caraNya sendiri."

- Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia, 189

Ingatlah bahawa bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja anugerah untuk Malaysia, "Malaysia" terutamanya. Terdapat banyak lagi anugerah dianugerahkan untuk Malaysia. Dengan menelaah sejarah politik Malaysia, anugerah itu dapat kita mengenalinya. Berdialoglah dengan sejarah politik Malaysia, ia akan memberitahu segala-galanya tentang anugerah itu, terutamanya anugerah-anugerah yang telah menjadi longgokan habuk sejarah politik Malaysia di dalam tong sampah sejarah politik Malaysia.

Parlimen Malaysia

Sorak suara yang bertalu-talu
Datangnya dari gua batu
Menerjah dari tiap penjuru
Marhaen pribumi kaget membatu.

Badut-badut kuasa bergelut
Berkata-kata berdegar-degar
Hingga jasad menggeletar
Saling sesama mahu menampar
Bak "betina sundal" yang hilang sabar.

Ayuh cepat!
Panggil tukang rawat
Juga pengawal gawat
Mungkin nanti jadi darurat.

Wednesday, December 15, 2010

WikiLeaks, mengundang "masalah"

Ini kerana, laman web seperti WikiLeaks akan terus menyiarkan apa sahaja bahan dan penyiaran pendedahan itu hanya akan mengundang masalah kepada seluruh dunia.”

- Tun Dr. Mahathir

Bekas Perdana Menteri

Pendedahan laman web WikiLeaks terhadap kegiatan liwat Anwar sememangnya mendatangkan masalah kepada negara dan pemimpin-pemimpin negara yang bermasalah. Sebelum mendedahkan kegiatan liwat Anwar, WikiLeaks telah melaporkan skandal PKFZ (Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang) di laman webnya tidak lama dulu.

Masalah yang dihadapi oleh negara berikutan laporan / pendedahan “rahsia sulit” oleh laman web WikiLeaks ialah mengenai (1) keselamatan negara dan (2) keselamatan pemimpin-pemimpin negara, pemimpin-pemimpin parti kerajaan yang memerintah dan parti pembangkang.

Apabila bercakap soal keselamatan negara, ia bukan sahaja menyentuh tentang keselamatan J85-GE-21 (enjin pesawat pejuang Northrop F-5E Tiger II) tetapi menyentuh perkara-perkara yang bersifat Top Secret atau Confidential, seperti data dan maklumat yang terkandung di dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA), pangkalan data / pangkalan maklumat negara, yakni pangkalan data / pangkalan maklumat Kementerian Pertahanan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan sebagainya.

Kejayaan WikiLeaks mendedahkan kegiatan liwat ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di laman webnya, ia dari sudut keselamatan negara perlu dipandang serius. Ini kerana WikiLeaks telah berjaya membuktikan bahawa sistem keselamatan pangkalan data / pangkalan maklumat negara tidak kukuh dan tidak selamat. Dari sudut keselamatan dan pertahanan negara ia adalah sesuatu yang memalukan dan mengaibkan.

Keselamatan pemimpin-pemimpin negara, pemimpin tertinggi umpamanya, juga adalah keselamatan negara dan ia perlu dipandang serius. Lebih-lebih lagi jika pemimpin-pemimpin negara itu terlibat dengan perkara-perkara yang boleh mendatang aib kepada negara. Segala maklumat sulit atau maklumat rahsia yang yang berkaitan dengan mana-mana pemimpin negara, seperti maklumat tentang skandal seks, rasuah dan sebagainya memerlukan jaminan penjagaan keselamatan bertahap tinggi.

Seandainya WikiLeaks berjaya membongkar kes atau skandal pemimpin-pemimpin negara, bakal pasti akan mengundang masalah kepada pemimpin-pemimpin negara dan negara. Jika demikian, dunia akan membuat kesimpulan mudah bahawa negara ini pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada kalangan yang suka mendatangkan masalah kepada negara dan dunia.